Tampilkan postingan dengan label cerpen karya Hashim Latiff. Tampilkan semua postingan
Tampilkan postingan dengan label cerpen karya Hashim Latiff. Tampilkan semua postingan

Jumat, 26 September 2008

SERIKANDI TANAH MERDEKA


MATA senjata tumbuk lada yang melengkung bongkok udang itu, ditatap tegap dalam petala pandangan sang srikandi. Pintu maling rumah, berdinding papan janda berhias dan papan jenang itu, ditatap lagi dengan tajam renungan. Sesekali dinding ukiran cantik dari motif bunga kala bukit, bertindan bunga lawang, berayunan dalam geram kerlingannya. Kain batik lepas bersusun wairon masih membaluti tubuhnya. Senjata yang lebih kecil daripada keris itu di hiasi dengan unik ukiran halus disaluti perak.

“Aku akan ubah tubir derita ni!” Srikandi mencabut mata senjata budaya Melayu yang tampan dan indah itu, “laman ni lamanku! Rumah ni rumahku! Aku takkan berpindah!”

Srikandi menyusun tatapan ke selasar senjata yang sama tampannya dengan keris itu. Tunam kebenciannya pada zalim tentera Jepun makin tumpat. “Aku dilahirkan dari tutur hulubalang!” Garing pasir di laman rumah ditumbuk padat! “Aku takkan undur dan alihkan tumpat tapakku dari tanah lahir ni biarpun berkecai jasad ni!” janji Srikandi.

Hulu senjata tumbuk lada yang dibentuk dari kayu kemuning urat beriringan ditatap lagi, “aku akan tentang bajingan yang menghancurkan maruah keluargaku!” Hulu berhias bunga sodok dan putik di hujung itu, cukup nyalang bila terkena simbahan cahaya matahari. “Keluargaku bukan barang dagangan! Maruah mereka sama dengan maruahku!”

Srikandi bingkas berdiri. Mata senjata tumbuk lada dimasukkan semula ke dalam hangat bilik sarung, berukiran tebuk tembus, bergelang puyuh dan tanduk itu. Langkah hanuman menerkam musuh dipersembahkan sepenuh sifir kebengisan, dengan sulur senjata tampan itu masih tercekak cergas dalam genggaman. Jari-jari runcing kini tidak lembut lagi. Jari yang panjang seperti sepit udang galah itu sudah acapkali menumbuk dan menikam garing pasir dan halus batu di laman rumah. Hujung jari milik perawan itu sudah bersedia dan upaya untuk menentang kejahatan manusia.

“Kenapa keluargaku dipancung?” Srikandi mengetip bibir. Matanya bersinar banar menatap sahabat serumpun yang bersimpuh di atas tikar pandan bercorak sisik kelah dan kisar mengiri. “Apa salah mereka?” Srikandi menepuk gelegar rumah.

Sahabat diam. Keluhan kecil terpantul dari hujung kelopak garing. Ternyata keluhan itu juga memburai kesalan berlanjutan.

“Kenapa keluargaku sahaja yang dikutip untuk siapkan jalan keretapi maut di Burma? “ Srikandi menepuk birai pagar larik. Bergetar pagar larik tersebut. ” Kenapa tidak keluarga lain?”

Sahabat bungkamkan diri bersama keluhan yang bersusun.

“Kezaliman ni akan ku tentang!” Kembali menepuk birai pagar larik, dia melepaskan satu sepakan silang berisi perjuangan.

Sahabat yang bersimpuh di atas tikar mengkuang bercorak kisar mengiri dan sisik kelah itu diterpa kasima. Dia tidak menduga begitu pantas hebat Srikandi memamerkan buah persilatan Melayu. Dia tidak menyangka. Kaki kecil yang tirus panjang itu upaya menyentuhi kayu alang di sutuh rumah. Dan kaki itu juga hampir-hampir merombak sutuh rumah yang bersiku kelawar ukir bunga daun saga kenering.

“Aku mesti tegakkan kemerdekaan!” Srikandi berpusing di atas tumit. Senjata tumbuk lada bermata bongkok udang balik sumpah dan tajam sebelah itu di gapai gaseng. Siup! Matanya disentak pantas seperti hanuman menyentak keris. “Orang yang kejam adalah musuh Tuhannnn!” Srikandi tunduk tafakur bersama senjata tumbuk lada dalam gemggaman.

Sahabat mengalihkan tapak kedudukannya. Dari tikar pandan bersisik kelah dan kisar mengiri, ke tikar mengkuang bercorak kelarai berati berkaki. Pandangannya tidak teralih pada teguh hebat persilatan Srikandi. Depaan tangan Srikandi bermumbu kemerdekaan. Silangan kaki Srikandi bertemin perjuangan. Peluh-peluh yang bertaburan dari tubuh Srikandi berbenih tanah air.

“Cacing yang kecil menggeliat bila diinjak-injak!” Srikandi berpusing lagi selepas tamat tafakur. Pusingan di atas tumit itu ligat seperti gasing uri di atas tapak uri. “Burung dara akan mematuk untuk lindungi telur yang dieramnya. Dan akulah burung dara itu!” Srikandi sekali lagi mendamik birai pagar larik. Pagar itu bergetar. “Merdeka!”

**************

“Di mana kau sembunyikan suamimu?! Di mana?!” Tingkat gempa suara herdikan lelaki bertopi kelabu, bagaikan halilintar, menebuk terus gegendang telinganya. Pengcekah senjata itu sudah lama ditarik dan jarinya sudah dimasukkan ke rumah picu senjata. Benet yang tajam bersinar di hujung senjata itu dihalakan ke perut Srikandi.

Srikandi mengacip kelopak bibir garingnya. Kegeramannya pada lelaki bertopi kelabu makin bingkas. Rambutnya mengerbang namun niat dan cekal hatinya tetap berkembar. Tangannya masih tertuas pada gerigis dan bonggol pohon getah. Peluh-peluh perjuangannya bertaburan dan berbenih lagi di bumi Illahi. Istiqamah dan teguh tekadnya tentang kemerdekaan bergunung dalam semangatnya meskipun terbanir gandalan yang terbujur.

Lurus laras senapang automatik bersaiz 7.62 mm dihalakan ke tubuh Srikandi. “Di mana suami mu?!” Ulang bajingan. Retina mata pengkhianat bangsa pantas merejam pandangan cekal Srikandi. Gempa suara herdikan itu menusuk dan menebuk jauh ke dalam tiub auditori telinga Srikandi. Srikandi tidak menutup tukul dan andas telinganya. Herdikan itu hanyalah cabaran kecil baginya dalam menuntut kemerdekaan. Herdikan itu cuma sulur selumbar yang akan dipatahkan demi sebuah perjuangan.

Srikandi tidak biarkan keresahan mengeceh tekadnya. Bulat laras senjata automatik musuh sebenarnya tidak pernah mengecutkan isitiqamah perjuangannya. Bulat laras senjata musuh adalah bulat kimah kemerdekaan yang bergunung dalam rasanya. Herdikkan dan gangguan gempa suara bajingan, sebenarnya sebuah gempa kemerdekaan. Kebun dan ladang, adalah wadah perjuangan. Penutupan lombong dan kemusnahan tanah lahir adalah tuntutan. Tiap-tiap hak membawa kewajipan. Kemerdekaan tidak akan tercapai dengan menadah tangan. Biarlah dia terkorban di umbi pohon getah asalkan kemerdekaan tercapai.

“Kau nampak ni?” Herdikan bajingan makin bergempa. Muka bajingan merah padam seperti besi yang dibakar. Manusia sebangsa dengan Srikandi itu melakarkan nafas singa, “senjata ni akan menebuk tubuhmu.”

Imej bajingan pada retina Srikandi, sebenarnya imej buruk yang mesti ditentang. Imej bajingan pada otot siliari Srikandi adalah imej bajingan yang tidak mungkin menggugatkan teguh kemerdekaan yang diidamkan. Imej bajingan adalah gerutup imej perjuangan Srikandi. Dan Srikandi terus tegapkan tekadnya. Perjuangan mesti dihimpun demi sebuah kemerdekaan. “Senjata dan peluru ditanganmu. Tapi takdir di tangan Tuhan.” Tegas tekis Srikandi. Gelemair matanya menangkap lagi induk imej pengganas di hadapan laman padang pandangannya

Bajingan meletakkan kemarahannya di laman wajah jendalnya. Lubang laras senjata yang pernah menebuk berbelas tubuh manusia itu terus dihalakan ke arah datar dada Srikandi. Perempuan yang pernah menabur benih pahlawan berkembar hulubalang itu tidak pernah rusuh dengan halakan itu. Halakan itu hanyalah satu permainan dan dia mesti menewaskan pemain yang telah melupakan akar dan tapak tanah kehidupan. Dia mesti tumbagkan bajingan yang menghalang laluan menuju menara merdeka. Bajingan menarik pengcekah senjata automatiknya. Anak-anak peluru berkepala tembaga bersusun di dalam rumah peluru. Preng! Bunyi pengcekah senjata dilepaskan gaseng. “Sekarang beritahu aku! Di mana suamimu?”

“Kan aku dah cakap! Aku tak tahu!” Balas Srikandi. Mukanya sudah banyak bergalur. Namun tekadnya tidak bergalur, tetap teguh seperti bukit di belakang bajingan.

“Tak tahu?” Bajingan menghempaskan but senapangnya ke bumi. Iris matanya merakam seluruh perbuatan Srikandi.

“Bukalah matamu,” Srikandi mengangkat wajah. Wajah iras satria itu menghimpun cekal tinggi “Orang-orang yang kau siksa sebenarnya terdiri daripada bangsamu sendiri.”

“Diam!” Bajingan membuka luas kornea matanya. “Aku tak mahu dengar semua tu. Aku mahu tahu di mana kau sembunyikan suamimu!”

Srikandi tidak menyampuk. Andas telinganya tiba-tiba menangkap bunyi daun-daun kering dipijak. Dia melilau kanta matanya ke kiri dan kanan tanpa pengetahuan bajingan. Dari gaya pijakkan dia tahu, pijakkan itu datangnya dari rakan suaminya. Dia yakin. Pertempuran akan berlaku sebentar lagi dan inilah yang ditunggu-tunggu.

“Di mana suamimu?” Bajingan terus mengulangi pertanyaan dengan membaling pandangan bengis.

Srikandi membalas balingan pandangan itu, “kita serumpun. Kita sama-sama usahakan kebun. Kita majukan lombong. Apakah kerana risalah tu, kau mahu lupakan rumpunmu?!”

“Sudahhhh!” Jari terlunjuk diletakkan di lengkungan picu. “Kau jangan nak subahat. Pihak risikan telah tahu kegiatanmu.”

Srikandi bungkamkan diri. Hal-hal pergerakan suaminya tidak pantas diceritakan biarpun dia kini berdepan dengan maut. Dia sudah bebatkan tekadnya. Apa pun yang membunjur dan gandal dalam pola perjuangannya mesti dipertahankan dipuncak. Soal-soal rahsia dan mutu pergerakan pasukan suaminya, bukan soal mainan. Soal negara. Hal merdeka!

Prap! Prap!

Bunyi gaya pijakan daun kayu menusuk lagi melalui tiub audiotari telinganya. Srikandi khabar dan tahu benar. Cara pijakan dan siulan itu sebenarnya satu rangkaian kata jodoh pergerakan pasukan Deraman Harimau. Gaya itu gaya penuh pejuang kemerdekaan. Kemerdekaan itu kemuliaan dan dia mesti berjuang untuk kemerdekaan. Dia menanti dengan debar tapi sabar pergerakan itu dan dia tahu, pertempuran akan berlaku sebentar lagi.

Karpus dan metakarpus tangan Srikandi terasa pedih bila tali yang mengikat pergelangan tangan itu bergesel dengan bonggol batang getah. Namun Srikandi tetap utuhkan cekal dalam pergerakan dan perjuangan. Halangan yang berbanjar itu sebenarnya satu falsafah untuk gapai kejayaan. Duka yang berganda itu sebenarnya satu syair untuk tunaikan kemerdekaan. Kerana itu Srikandi tidak pernah pamerkan kegelisahan waktu berdepan dengan lelaki betopi kelabu. Laras senjata yang dihadapkan kebatang tubuh Srikandi di terima dengan sabar. Srikandi memasak keyakinan kekal. Kemerdekaan miliknya.

“Di mana suamimu?” Bajingan mengangkat but senjata ke bahu. Anak-anak peluru yang bersusun di dalam rumah peluru sudah bersedia untuk dilancarkan. “Kali ni, senjata ni akan meletup!” Pengcekah senjata ditarik kembali, “cakap!” Pengcekah senjata dilepaskan gaseng. Enjin kerja senjata itu sudah bersedia untuk bekerja. “Cakap!”

Tiba-tiba letupan kuat membelah kesit belantara. Kulit tanah berhamburan tinggi menimpa daun-daun kering di denai dan cerun. Bajingan tumbang tertiarap di bumi.

******************

Srikandi menyimpan senjata tumbuk lada di dalam almari. Tampan dan segak senjata seperti keris dengan mata senjata melengkung bongkok udang bentuk balik sumpah itu, tertulis wadah kemerdekaan. Sarung kayu senjata warisan kemerdekaan yang dikapuh dari kayu kemuning urat beriringan, berukiran daun saga kenering itu ada selampit perjuangan. Kemerdekaan tak tercapai dengan sebutan sahaja. Kemerdekaan itu harus diusahakan dan diperjuangkan. Dan ketika rabas pertama airmata Srikandi menimpa pagar larik rumah Melayu papan janda kayu cengal ukiran tebuk tembus berhias bunga cempaka telur, tedesis sesuatu dari kelopak bibir yang sudah kendur: peganglah teguh-teguh jika engkau mendapat kemerdekaan kerana kemerdekaan itu sedikit sekali dalam dunia ini.

RINDU TANAH MALAYA


Bula Malaya
Bula Malaya kei Viti Talenga
Cauravou era ya gangga
Nibula ni bula kece sara
Me da sa mai vei kuna tale

(Hello Malaya dan Fiji

Pemuda-pemuda kami

Adalah askar yang berani

Mereka gembira

Hello, hello semua....

Teringatlah Fiji...Fiji sangat kecil...)

i

Hening yang jatuh berlambakan di petak padang Syria Park Nausori, Fiji tersusun padat dalam bingkai kornea mata Seremaia Vakarusa. Bekas Sarjan askar Fiji yang pernah berkhidmat di bumi Malaya antara tahun 1952-1956 itu bertongkat sambil menyapu perlahan baki kristal airmata di kelopak matanya dengan perut jari tangan kiri. Tiupan begol lagu The Last Post terus mengoyak naskah ngilu yang bersarang di dadanya. Seiringan dengan tiupan begol itu, bendera negaranya diturunkan perlahan-lahan setengah tiang sebagai menghormati teman yang gugur.

Sesekali dia melebarkan gelemair matanya ke arah bekas teman-teman yang datang dari Persatuan Bekas-Bekas Perajurit Fiji dari cawangan Tebara yang merangkumi daerah Nausori, Naitasiri dan Rewa. Teman-teman juga sudah banyak yang bertongkat, tua, perut buncit dan uzur. Kebanyakan teman-temannya merupakan anggota dari Kompeni A yang pertama sekali meninggalkan Fiji menuju Singapura melalui kapal.

Di Singapura bekas sarjan itu di pimpin oleh Ratu Edward Chakobau sebelum berpindah ke Kota Tinggi bagi jalani latihan perang. Dan ketika di Labis terciptalah lagu Bula Malaya yang dikarang oleh Josua Rabakuwaqa Komandan Platun Mortar Kompeni A. Lirik lagu nostalagia itu menebuk perlahan mozek ingatannya.

ii

1954

Darah membuak di bahu Seremaia Vakarusa. Darah itu jatuh dan mengelar urat-urat timbul di dada daun kayu kayan di pelepah bukit. Sesekali dia meluahkan kerutan di anjung wajahnya dan ternyata kerutan itu melambangkan jumlah kesakitan yang jitu. Rifelnya tetap tersangkut di bahu dan teguh ikhlas perjuangannya di Tanah Malaya seperti ikhlas teguhnya bukit-bukit di kaki Labis.

“Biar saya tumbuk daun kayu kayan ni.” Salmah, perempuan tanah Malaya memeriksa luka di bahu pejuang dari Fiji itu. Darah merah perajurit itu terlekat di hujung jari terlunjuknya.

“Daun kayu?” Muka perajurit Fiji agak berkerut bila Salmah menyentuhi lopak luka di bahunya.

“Daun kayu ni berubat.” Salmah menyapu peluh dimukanya.“Hutan Tanah Melayu kaya dengan ubat tradisional. Ayah saya selalu guna daun ni bila setiap kali dia luka. Bukan sia-sia daun kayu kayan ni di cipta.”

“Salmah...” Seremaia Vakarusa menelan liurnya. Peluh di mukanya sudah banyak yang jatuh ke bumi. “Terima kasih kerana sudi bantu saya.”

Senyuman kecil terbuhul di hujung kelopak bibir cantik Salmah. “Terima kasih juga saya pada perajurit dari Nausori kerana sudi berjuang dengan panji komanwel di tanah air saya.” Tangannya hitam terpalit daun kayu berubat yang ditampal di bahu tentera Fiji itu.

“Saya senang dengan perempuan Tanah Malaya.” Ujar Seremaia Vakarusa, “budinya setinggi bukit-bukit di Bahau ni.”

Salmah tidak pantas menjawab, mengolah sekuntum senyuman kemudian membalut luka di bahu perajurit Fiji bertubuh sasa itu. Darah yang membuak di papan bahu kini sudah berhenti. Lengkingan daun-daun ketika diterpa angin menusuk perlahan andas telinga Seremaia Vakarusa.

“Budi tu bersifat antarabangsa.” Sambil menyambung ujar, perajurit Fiji meriba rifelnya. “Ukuran peradaban sesebuah negara bukan terletak pada subur tanahnya tapi pada darjat kemerdekaanya.”

Salmah menyapu peluh di mukanya. Perempuan berambut panjang yang gemar memakai baju kurung itu mengemaskan cucuk sanggulnya. Perlahan-lahan dia berkata, “buat baik bukan kerana budi,melainkan bakti.”

“Rasanya tak mahu pulang ke Fiji.” Seremaia Vakarusa melingas pandangan ke hujung kaki bukit.

“Vakarusa, Tanah Malaya hanya tempat bertugas. Bukan tanah air saudara.” Balas Salmah.

“Tapi tak salah kalau saya katakan Tanah Malaya ni tanah air saya yang keduakan?” Seremaia Vakarusa meletakkan soalan.

“Vakarusa?”

iii

1955

Petikan tali gambus memukau Tanah Malaya. Lenggok lagu-lagu yang menyentuh hati perantau, pantas terluah di hujung jari seni Sarjan Seman. Lelaki pejuang itu tidak pernah menunjukkan resah waktu berjuang pertahankan negara. Ketika peluru musuh himpang himpit di telinganya, dia terus menentang petualang tanpa rimbunan resah di ulu hati.

“Kau seorang pejuang berjiwa tanah air, Seman.” Seremia Vakarusa menyapu peluhnya. “Pahlawan Melayu sebenarnya seorang yang berani.”

“Bukan aku seorang yang berani. Kau juga berani.“ Sarjan Seman tersenyum kecil sambil memetik tali gambus. Sesekali dia melambungkan pandangannya jauh ke kaki bukit di daerah Bahau. Dengan kecekapannya memetik tali gambus setidak-tidaknya dia telah berjaya hiburkan hati pejuang-pejuang dari Fiji. Kerana kecekapannya bermain gambus akhirnya di digelar Sarjan Gambus.

Gambus antik itu diribanya perlahan.

“Seman..”

“Ada apa Rusa?”

“Aku tertarik dengan dia.” Perlahan suara Seremaia Vakarusa sambil meletakkan pandangan pada picu rifelnya.

“Dia?” Muka Sarjan Seman berkerut. Gambus yang diribanya disandarkan ke dinding berek, “siapa?”

“Perempuan Tanah Malaya.”

“Perempuan Tanah Malaya?” Sarjan Seman diam sejurus. Kelopak bibirnya dikemam. Wajahnya berkerut memikirkan sesuatu.

“Budi baiknya tak dapat ku balas.”

“Memang itulah perempuan Tanah Malaya, Rusa.” Sarjan Seman meriba kembali gambusnya. Dua tiga kali dia memetik tali gambus, dan bunyi peteh petikan itu tertebar sayu, jauh ke hujung berek, “mungkin wajahnya tak cantik tapi dia boleh cantikkan budinya kalau dia mahu.”

“Seman,” Seremaia Vakarusa memeriksa raifelnya, “ada rindu ku tumpah di sini.”

“Rindu?” Sarjan Seman menyapu muka gambusnya, meriba kemudian memetik dua tiga lagu ngilu. “Maksudmu?”

“Salmah.” Ringkas tutur Seremaia Vakarusa.

Sarjan Seman diam. Menabur pandangan jauh ke hujung berek dan ke kaki bukit tinggi yang berbalam.

“Dia seorang perempuan yang baik,” Seremaia Vakarusa melucutkan gugus keluhan.

Sarjan Seman diam. Memasung diri dan rasanya di celah-celah petikan tali gambus yang ngilu.

iv

Sarjan Seman menyapu kristal peluh yang berkaca di wajahnya. Wajah yang berkedut itu menyimpul simpan seribu rahsia dan pengalaman waktu menuntut kemerdekaan Gambus yang pernah di petik ketika bersama tentera Komanwel disandarkan di atas almari. Kumat kamit dia gerakkan bibirnya menyanyikan lagu BULA MALAYA. Lagu nostalgia itu cukup mekar dalam indraloka ingatannya. Perlahan-lahan dialihkan pandangannya pada anak keris yang tersangkut di dada dinding. Keris tiga lok itu hadiah dari Kopral Robi, anak timur dari sempadan Malaysia-Thai. Lama direnungnya keris tersebut. Dalam budaya Melayu, bisik hatinya, keris meletakkan lambang sempurnanya wibawa Melayu dan barang pusaka yang punyai kukuh kuasa magis.

Perlahan-lahan dia mengambil keris yang memiliki ketampanan rupa, kekacakan garis dan kehalusan hiasan itu. Ditariknya mata keris dari perut sapir, lalu diciumnya mata keris berbentuk gerak ular campuran alunan ombak dan arus air itu. Terkenang Mat Kilau, terbayang Tok Janggut. Teringat Megat Panji Alam yang memakai keris panjang perbuatan Minangkabau, empat jengkal, memakai pendua berhulukan bawang sebungkal bertatahkan permata merah. Ditenung tilik anak keris kecil berseni, teringat kisah keris Raja Mambang Malik yang mempunyai mata sepukal pamur perak tiga biji di hujungnya:

Keris bernama Semilawari

Pedang bernama kilat senja

Diam dalam cembul gading.

Ombak melambung buihnya hingga hinggap di perabung rumah. Seorang lelaki, sebayanya, menjatuhkan langkah di celah-celah garing pasir dan suam percikan buih, menjinjing beg memasuki halaman rumahnya. Anak keris di simpan di dalam almari ukir. Perlahan-lahan dia meletakkan pandangan pada tubuh Dia terpegun melihat langkahan lelaki itu. Senyuman kecil berbunga di hujung kelopak lelaki bertopi anyaman buluh.

“Boleh saya tumpang tanya?” Telonya pekat Inggeris.

Sarjan Seman terpegun “tuan boleh bercakap Melayu?”

“Saya lama di Tanah Melayu.” Jawabnya, senyum sambil menyapu peluh di mukanya.

“Tuan nak tanya apa?” Sarjan seman membiarkan percikan anak ombak menimpa mukanya.

“Apakah ini rumah Sarjan Seman?” Perlahan tutur Seremaia Vakarusa, sambil melilau kiri dan kanan.

“Sarjan Seman yang mana satu tuan?”

“Sarjan Seman yang pernah bertugas dengan tentera komanwel.” Jelas Seremaia Vakarusa.

“Errrr...ya..ya..”

“Ini Sarjan Semankah?” Usul bekas tentera Fiji.

“Ya, saya.“

“Sarjan tak kenal saya lagi?” Seremaia Vakarusa tersenyum. Perutnya agak buncit.

“Saya dah tua, tuan” Jawab Sarjan Seman. Di biarkan anak-anak ombak menyapa tubuhnya. “Fikiran orang tua mudah lupa.”

“Saya Sarjan Seremia Vakarusa dari tentera Fiji.” Dia perkenalkan dirinya.

“Sarjan Seremia Vakarusa?”

“Sarjan tentu ingat:

*Bula Malaya kei Viti Talenga,

Cauravou era ya gangga,

Vosa na wei e vaka lasalasa,

Ni bula ni bula kece sara,

Me da sa mai vei kuna tale,

*(Hello Malaya dan Fiji

Pemuda-pemuda kami

Adalah askar yang berani

Mereka gembira

Hello, hello semua....

Teringatlah Fiji...Fiji sangat kecil...)

“Vakarusa, maafkan aku.” Ujar Sarjan Seman. Senyum. Mereka berpelukan ketika busa buih menyapa dan menimpa tebing pantai. “Macam mana kau tahu rumah aku?”

“Aku hubungi persatuan beks perajurit,” Sarjan Seremaia Vakarusa menompang tangan di kepala tangga, “aku bagi nombor tentera kau dan mereka berikan alamat rumah ni.”

Sarjan Seman mengeluh.

“Seman, macam mana dengan Salmah?”

“Salmah?”

iv

“Kita dah tua Rusa,” Salmah bersimpuh di beranda. Pandangannya menjalar pada kaki laut yang biru membiru.

“Tua hanya pada perkataan dan sebutan,” Seremaia Vakarusa duduk di birai tangga. Wajahnya di bayangi bilah daun kelapa gading yang berbuah kuning, “tapi kasih dan sayang saya pada awak tetap seperti dulu, Salmah.”

Bunga-bunga bungkam mengalungi keluhan Salmah.

“Salmah, saya ikhlas.”

Salmah berengsot, “awak tahu dengan keadaan saya’kan?”

“Apa salahnya kita berkongsi masalah.” Tujahan mata Seremaia Vakarusa berhimpun dalam seludang mata Salmah.

Ketika rambutnya terumbai ditiup angin, Salmah menumpang tangan di gelegar rumah. Dia berengsot ke beranda, memandang air laut yang biru membiru menebuk dinding pantai, “Rusa, lupakanlah saja niat awak tu.”

“Tidak Salmah.”

“Awak dah tengok cara hidup saya’kan?” Salmah menyelak anak-anak rambut yang menutupi dahinya. “Perkahwinan orang tua dan lumpuh macam saya ni, tentu menyusahkan awak.”

“Saya dah biasa hidup susah.” Seremia Vakarusa menyangkut topinya di kepala tangga. “Isteri saya yang dulu juga lumpuh.”

Sarjan Seman diam tidak menyampuk. Sesekali dia lingaskan pandangannya pada Salmah dengan bekas Sarjan dari Fiji itu. Perlahan-lahan dia cuba renangi lagu BULA MALAYA dalam kotak ingatannya.

“Biarlah saya di negara saya. Awak di Fiji.” Perlahan ujar Salmah, memandang alunan lembut air laut dan burung-burung menyisir di atas pulau. “Kalau awak teringkatkan saya,” Salmah menyelak anak rambut yang cuba menutup pandangannya, “doakanlah kesihatan saya. Kalau awak sayangkan Tanah Malaysia, ingatlah lagu BULA MALAYA.”

“Salmah, soal sekarang saya...saya...” Tutur Seremaia Vakarusa tergantung di situ.

“Terimalah hakikat bahawa kita takkan bersama.” Perlahan tutur Salmah.
“Kerana warna kulit?” Soal bekas Sarjan Fiji.

“Tuhan jadikan manusia berbagai warna kulit bukan untuk berkecil hati tapi untuk berfikir tentang kebesaran dan kehebatannnya.” Salmah melurut kakinya dengan minyak akar kayu yang panas.

Seremaia Vakarusa meletakkan keluhannya.

“Pulanglah ke Fiji.” Salmah memadang jauh ke dalam mata Seremaia Vakarusa, “ramai teman-teman awak menanti di sana.”

“Salmah, peluh saya banyak tumpah di Tanah Malaysia ni.” Ujar Seremaian Vakarusa antara keluhan dan harapan, “saya...saya rindukan tanah bertuah ni. Kalau awak menolak hasrat saya ini...saya takkan pulang ke Fiji lagi.”

“Rusa?”

Ombak terus berdebur, meletakkan busa buih dan menambah basah butir pasir di dada pantai.

v

*Bula Malaya kei Viti Talenga,

Cauravou era ya gangga,

Vosa na wei e vaka lasalasa,

Ni bula ni bula kece sara,

Me da sa mai vei kuna tale,

*(Hello Malaya dan Fiji

Pemuda-pemuda kami

Adalah askar yang berani

Mereka gembira

Hello, hello semua....

Teringatlah Fiji...Fiji sangat kecil...)

LELAKI TIRAI BAMBU




"AYAHku bukan pengkhianat!” Dia menumbuk bumi. Pasir dan batu kecil melekat padu di buku tangan. “Ayahku seorang pembela!” Dia berpusing ligat di atas tunjang tumit, “kalau tidak ada manusia seperti ayahku, tak ada kemerdekaan bagi tanah lahir ni!”

Dia memecahkan bucu empat persilatan Melayu. Kelewang panjang berhulu 8 sentimeter dengan panjang matanya 39 sentimeter itu digenggam gagah dalam genggaman tangan kanan. Mata kelewang tajam bergetah itu terhambur sinarnya menimpa perabung kampung apabila terkena panahan cahaya matahari dari anjung langit. Tapak satu di atur. Padu dan padat. Lengannya di depa. Tengkolok dari jenis perlipatan Lang menyongsong angin yang disongket dengan benang emas di corak tepi kain, megah makmur di puncak kepalanya. Urat-urat betisnya membanir seperti akar cengal bila dia persembahkan tapak persilatan harimau, “ayahku bersemangat kebangsaan!” Kelewang panjang berjambul dipusing berbelas kali di atas puncak kepala sebelum dibalingkan ke perdu tembesu. “Penjajah marahkan ayahku kerana dia seorang pejung kemerdekaan. Bukan tali barut!”

Tapak satu di susun, kemas menyantun.

Kelewang panjang bermata jambul terus ditatang tegap dalam genggaman. Kali ini dia mesti hapuskan tali barut penjajah. Kekejaman manusia kejam itu akan dibalas. Kerana merekalah ayahnya di tuduh pengkhianat. Kerana mereka jugalah lelaki yang pernah menghidangkan resepi kemerdekaan itu dipandang sebagai pengganas. Dan kerana mereka jugalah ayah ditomah, kononnya ayah mahu membunuh Penghulu dan mahu menyerang ashkar-ashkar Kerajaan. Kerana jahat tali barut yang dengkikan ayah, akhirnya tawaran dua puluh ribu ringgit di keluarkan kalau dapat menangkap ayah hidup atau mati. Dan akhirnya ayah ditembak tatakala sedang mengambil wuduk di sungai. Ayah terhumban ke dalam sungai. Kepala anak peluru dari muncung senapang penjajah berselirat menembusi dada bidang ayah. Mayat ayah di kadar seperti mengandar haiwan buruan. Semua itu akan di balas! Ayah bukannya pengkhinat! Bukannnnn!

Tapak dua di atur tenaga Panglima.

“Aku takkan lepaskan muuu!” Dia terus memusing kelewang jambul. Mata kelewang yang panjang 39 sentimeter itu akan bermandi darah pengkhianat. Tengkolok lang menyongsong angin tetap megah di puncak kepala. Ayah bukan pemberontak!. Dia membaling kelewang jambul ke tengah gelanggang udara. Dengan langkah harimau tidur, mulutnya kumat kamit membaca sesuatu dan kelewang yang berpusing seperti baling-baling itu, menjunam hujung tajam ke tengah telapak tangannya. Pantas ditangkapnya mata kelewang itu kemudian di putar kembali di atas kepalanya sebelum menetak bumi.

Dia tunduk. Guliran peluh dan kegeramannya bersandingan di bumi. Di renungnya mata kelewang yang baru saja digunakan buat menetak kulit bumi. Mata kelewang itu tidak terjejas sedikit pun meskipun menetak pasir dan batu. Ayah bukan penjenayah. Ulangnya lagi. Semua itu propaganda penjajah. Dakyat penjajahhhh! Ayah seorang alim. Seorang lebai bersemangat kebangsaan. Selepas sembahyang sunat di masjid, ayah bersumpah di hadapan Pak Iman dan para jemaah, ayah bukannya perancang utama pembunuhan Penghulu. Ayah nyatakan bahawa semua itu angkara masyarakat kampung yang berebut jawatan tersebut. Dan ayah tidak terlibat langsung dalam pakatan jahat itu.

Namun tidak ada siapa yang endahkan sumpah ayah. Tidak ada insan yang percayakan cakap ikhlasnya. Malah ada yang berbisik sesama sendiri mengatakan bahawa ayahlah pengganas. Ayahlah yang merancang penutupan sistem air di desa hilir. Ayahlah yang membakar perahu Imam Mamat dan Lebai Masud. Ayah yang menutup gelanggang silat Pak Su Nik Man. Ayah yang membunuh Kapten Mac Fountaine. Puas ayah merayu dan mengadu, namun manusia tali barut penjajah tetap mengatakan bahawa ayah seorang penjenayah. Kerana itu ashkar penjajah terus mengepungi desa, mencari dan mengintai ayah. Kalau tak dapat ayah, terjumpa tapak kaki ayah juga mereka akan cincang.

Tapak tiga di buka, tapak Paduka.

“Ayah seorang yang warak!” Kelewang jambul berhulu kayu kemuning di baling tepat ke perdu cengal. Tepat balingan itu. Bergetar hulu kelawang jambul. Perlahan-lahan dia bersimpuh di atas garing pasir, tunduk tafakur kemudian mengaut angin dan menghimpunnya di batas dada. Pandangan singanya tepat menancap ke arah matahari merah di barat. Dua tiga kali dia lakukan gerak sedemikian. Di satukan dua telapak tangan secara berasingan, di tengah-tengah bidang dadanya. Telapak tangan kanan terungkup telapak tangan kiri terlentang. Kumat kamit mulutnya membaca sesuatu. Kelopak matanya terpejam, seperti sedang mengenangkan sesuatu. Telapak tangan kanan dan kiri di pusing sekali gus berserta dengan silangan kaki kanan di bawah perlipatan betis kaki kiri. Gerak gaya tapak tegap kaki keras hanuman dipertunjukkan penuh gaya berseni, “ayahku seorang yang warak!” Dia terus menentang angin, “ayahku menyayangi bangsa, agama dan tanah air.” Tengkolok lang menyongsong angin berbenang emas itu masih utuh di puncak kepalanya, “mana mungkin seorang yang sayangkan bangsanya di tuduh pengkhianat?”

Dibiarkan angin mengusap-gusap mukanya. Hujung perlipatan tengkolok lang menyongsong angin bergetar bila dia persembahkan semangat Tuah. Langkah Jebat dipersembahkan penuh tulus. Ilmu kependekaran milik sahabat lima saudara itu digali dari perlipatan ilmu arwah ayahnya. Kemudian ilmu itu di amalkan dan akan diluahkan bila bertemu tali barut koloni.

Tapak empat, langkah cepat.

“Kematian pejuang tanah air tu tetap ku bela.” Dia terus mengumpul semangat dalam dada. Tirai bambu yang tergantung di muka pintu rumahnya ditatap tegap dengan kornia matanya. Peluh-peluh mulai bermanik dan berperak di segenap sentimeter tubuhnya, “aku akan cari manusia yang memakan daging bangsaku sendiri!” Berguling dan bergulung seperti tenggiling, bingkas berdiri, dia terus mencapai keris tiga lok. Keris kebangaan Panglima itu direnungnya penuh istiqamah. “Aku akan tebus aib manusia yang menembak jasa arwah ayahku.” Keris yang ditatahkan dengan pudi manikam bersarungkan emas dipahat, ditatahkan permata bersalut, dicekak kembali dalam genggaman. Dan hari ini dia akan jadi Panglima! Biar daerah tahu. Dia anak bekas seorang pejuang. Biar kampung kenal, dia anak seorang alim. Biar koloni sedar, dia anak dari arwah manusia yang punyai semangat kebangsaan. Biar tali barut arwah ayah tahu, dia anak dari zuriat manusia yang sayangkan bangsanya sendiri. Biar abad tahu, dia waris Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Purba Jelai, Datok Bahaman, Mat Kelubi dan Pawang Nong.

Tapak satu di kapuh semangat menyimpuh

Keris tiga lok dibaringkan di atas jemburan. Langkah hanuman tegap bersasa dibangkitkan. Waktu dia menyilangkan hujung jariya di bawah perlipatan siku, kanta pencapah matanya memerangkap gerakan awan di langit jauh. Lama direnung hanyutan awan tersebut kemudian dilambungkan kembali renung itu pada kelewang panjang yang masih tercucuk di perdu cengal.

“Ayahku seorang pejuangggg!” Kembali berguling di atas bumi, tanpa tertanggal tengkolok Lang menyosong angin dari puncak kepala, dia mencapai tombak yang terselit di dinding. Tombak bermata tajam campuran besi sepuluh jenis itu di pusing-pusing di atas kepala, “ayah ku bukan pengkhianat! Ayah ku bukan pengikut orang kaya yang menyerang Mr. Townson yang memudiki sungai Semantan ke Lubuk Terua.” Tombak berhulu kayu kemuning berpelak tidak dilontarkan, “ayahku tidak menembak Mr. Little.” Dan tombak itu dilontarkan tepat di batang pohon cengal pasir. “ayah ku orang yang warak!”

Gerak cuaca cerah di langit jauh, meletakkan damai seketika meskipun dalam daerah tercetus kukuh konflik. Apa pun halangan yang terbujur, dia tetap dengan tekadnya. Pembunuh ayahnya mesti di cari. Kuncu-kuncu koloni yang menyiksa mayat ayahnya akan ditebas seorang demi seorang. Manusia yang simpati dengan penjajah, kemudian mengatakan bahawa ayahnya pengkhianat, akan disusuli. Ayahnya tidak pengkhianat. Ayahnya juga bukan perancang pembunuhn tok Penghulu. Dia mengulangi. Ayahnya seorang yang berjiwa kental.

Dibiarkan angin mengutis kulit tubuhnya. Tapak persilatan Melayu dikemaskan. Melangut, terpandang bapa gayung, tunduk terbayang ibu gayung. Di kanan Tuah, di kiri Jebat. Lekir di depan, Lekiau di belakang. Kasturi di tengah-tengah. Angkat kaki, tendang angin. Ada Dato Bahaman dalam gagah tendangan itu. Siku angin tetak udara. Tok Janggut tafakur dalam gugus udara. Tarik nafas, nafas Tok Gajah. Menghimpun gerak, gerak Mat Kilau. Gerak satu gerak padu, gerak dua tanah air dan agama. Gerak tiga, gerak bangsa. Koloni mesti dihapuskan.

Kerana merekalah berlakunya perpecahan di kalangan penduduk desa. Kerana penjajahlah timbulnya masalah dalam sistem pungutan cukai. Kerana merekalah pembesar-pembesar Melayu hilang punca pendapatan. Kerana mereka jugalah Residen jadi keras hati. Kerana merekalah ayahku di tuduh penjenayah. Dan kerana keji perbuatan merekalah akhirnya ayahku ditembak. Koloni dengan tali barut adalah sama. Satu karung! Semuanya pengkhianat bangsa!

Siupp!

Tombak diluncurkan pada perdu cengal. Bergetar tombak tersebut. Langkah persilatan Melayu yang padat padu dengan nafas hulubalang dan deru pendekar, menyobek tekadnya. Akanku musnahkanmu pengkhianat! Akan ku hancurkan mu tali barut yang berikan dakyah palsu. Tiba-tiba dia tafakur. Kelopak matanya tergenang. Kelamnya menyerkup diri. Ngilu di atas perbuatan anak pribumi sendiri makin memanjati rasa dan perasaannya. Apa lagi rindu itu makin bertambah bila dia ingat tutur Iman Ahmad. Iman cukup sedih dengan kematian arwah ayah dalam keadaan yang cukup menyayatkan hati.

Seorang demi seorang penduduk kampung bangkit menyarung baju wira, menyahut seruan penjajah untuk membunuh ayah dengan harapan agar dapat merebut hadiah lumayan. Iman menyesal dengan kejadian orang kampung yang jadi tali barut penjajah untuk musnahkan ayah. Iman terkilan dengan penduduk kampung yang sanggup menukar dan menggadai rentak pendekar dengan wang ringgit. Dan akhirnya ayah di bunuh dengan kejam. Bunyi tembakan serentak di sudut hening pagi menghancurkan segala-galnya. Ayah rebah terguling bersama tusukan anak-anak peluru yang berselirat menembusi dada. Apa yang diujarkan tali barut koloni itu semuanya dusta menumpang nista. Ayah menyayangi bangsa, agama dan tanahairnya.

Tapak satu di kapuh semangat menyimpuh

Kenapa jadikan ayah sasaran koloni? Apa salah ayah? Di mana silap ayah? Kenapa batang tubuh ayah yang bersalut warak dan sayangkan tanahair dititik sebagai penjenayah? Ahhhh! Manusia biadap! Menyimpan haloba dalam diri! Kebiadabanmu akan ku balassss! Apakah nyawa ayah semahal 20 ribu ringgit?

Kembali menyusun tekad, dia mencapai semula keris tiga lok. Tengkolok Lang menyosong angin dikemaskan semua di puncak kepala. Kegeramamnnya mulai mendidih. Kebenciannya pada tali barut penjajah terus memuncak. Kesedihannya akan diganti dengan kegembiraan. Mata keris di tatap tegap. Semangat juang ayah terbaring di sepit rotan keris. Janggut keris menyimpan nur agama. Gah tanah air di lambai gajah keris. Aring keris aring Mat Kilau dan Datok Bahaman. Tulang keris tulang penjajah. Keris pedang bakal menunjah!

Cisss!

Menuju pengkalan, mengendong sinar semangat, junjung tekad, himpun istiqamah dan hasrat, dia menarik kolek yang tersorok di bawah lembut daun-daun sagu yang tajam juringnya. Tebing sungai yang dirimbuni pokok-pokok kecil dan besar itu, suam sejuk airnya. Kali ini sungai akan menghimpun darah penjajah!. Dalam dirinya hanya satu. Penjajah atau manusia tali barut.

Mendayung perlahan menyusuri sungai, keris tiga lok terselit di celah bekong hitamnya. Tengkolok Lang menyonsong angin tegap teguh di puncak kepala. Guliran peluhnya berhimpun di celah kong kolek. Peluh-peluh itu nanti akan di saring menjadi renda semangat. Tali barut penjajah akan di hapuskan. Ayah bukan pengkhianat. Ayah tidak pernah menyimpan niat untuk membunuh Cikgu Usof, Guru Besar dari sekolah di kampung seberang . Ayah juga tidak pernah muafakat untuk membunuh penghulu. Ayah tidak pernah menyerang ashkar kerajaan. Tapi kenapa ayah dituduh sedemikian?

Berkolek ke hilir, semangat ingin membalas dendam makin bergunung. Suam sejuk air sungai diceduk dengan telapak tangan. Perlahan-lahan air itu digunakan buat menyapu muka. Berkayuh lagi sambil mata mencerlung tajam ke kiri kanan dan sewaktu melewati pengkalan tempat ayah di tembak, rasa ingin membalas dendam makin mencuat. Ayah dibedil ketika sedang mengambil wuduk dan kini manusia yang membedil ayah sudah di kenal pasti. Dia akan menuntut bela.

Kolek di kayuh lagi. Menghampiri selekoh, melewati tempat ayah dibedil, sambil matanya melilau kiri kanan dengan panahan geram tiba-tiba serentak timbul lapan lembaga dari dalam semak.

DAMMMMM! DAMMMMMM! DAMMMMMMM!

Koleknya berpusing. Tubuhnya tertiarap di celah kong kolek. Kolek hnayut perlahan ke hilir sebelum terungkup di dalam sungai bawah rimbunan dahan pohon jitung.